Latest News

recent

IslamicTunesNews | HALAL DAN HARAM DALAM HIBURAN


Hiburan sentiasa menjadi masalah kepada kita dan ramai di kalangan kita menganggap hiburan itu haram. Tetapi yang pelik orang yang menganggap begitu pun tidak dapat lari juga daripada hiburan.

Bagaimana sebenarnya kedudukan hiburan dalam Islam?

Menyedari topik ini penting, minggu ini diberi peluang kepada salah seorang pembaca yang memanggil diri sebagai Pak Mat Kelate untuk menyuarakan pandangannya mengenai hiburan di mana beliau menganggap hiburan itu haram secara mutlak dan kita tidak boleh mendekatinya.
Beliau dalam suratnya berkata, beliau tidak setuju dengan penulis kerana menganggap ada hiburan yang dianggap halal. Pada pandangannya, hiburan itu apa pun jenisnya adalah haram belaka.
Beliau mendakwa tiada seorang ulama pun yang berkata hiburan itu halal.
Beliau menulis, saudara pernah berkata hiburan itu makanan jiwa dan ia halal kerana manusia perlu kepadanya.
Saya tidak pernah mendengar ulama berkata begitu, sama ada ulama dalam negeri mahupun ulama luar negara.
Jika benar hiburan itu halal kenapa para ulama berkata sebaliknya.
Setahu saya hiburan itu haram kerana ia melalaikan dan menyebabkan kita lupa untuk beribadat kepada Allah.
Apa sebab saudara bercakap bohong dalam agama? Saya tidak kisah jika saudara kaki hiburan, tetapi takkanlah dosa yang saudara lakukan itu terpalit kepada orang lain.
Saya juga pada zaman muda dulu suka kepada hiburan, tetapi kini sudah tidak lagi berminat kepada perkara maksiat itu kerana menyedari bahawa ia tidak baik dan ditegah oleh agama kita.
JAWAPAN:
Dakwa Pak Mat Kelate bahawa semua ulama dalam dan luar negara berkata hiburan itu haram adalah tidak betul.
Memang benar ada ulama berpendapat bahawa hiburan itu haram, tetapi apa yang dimaksudkan oleh mereka ialah hiburan yang mempunyai unsur-unsur tidak sihat seperti mengandungi kata-kata kesat, cerca, maki, carut, sumpah seranah, lucah dan sebagainya.
Sebaliknya jika hiburan bebas daripada unsur-unsur tersebut, menurut kebanyakan ulama dahulu dan sekarang, ia adalah halal.
Malah ada juga ulama berpendapat bahawa hiburan yang mempunyai dosa yang sangat kecil dan sukar untuk menghindar daripadanya dibolehkan.
Contoh hiburan yang dianggap halal ialah seperti mendengar lagu dan menonton filem tidak mempunyai unsur-unsur yang dianggap haram dan memudaratkan kita.
Berhubung ulama yang menganggap hiburan itu tidak haram, penulis menurunkan di sini beberapa nama ulama muktabar dahulu dan sekarang sebagai bukti.
Di antara ulama-ulama zaman dahulu yang menganggap demikian ialah Imam Syafi'i dan Imam Al-Ghazali.
Diceritakan Imam Syafi'i berhibur apabila mendengar lagu yang merdu. Beliau pernah bertanya kepada anaknya waktu mendengar seorang penyanyi mendendangkan sebuah lagu.
Beliau berkata: ''Apakah ia menghiburkan kau?''
Jawab anaknya: ''Tidak.''
Mendengar jawapan anaknya itu, Imam Syafi'i berkata, ''Kau tiada perasaan.''
Diceritakan juga bahawa guru Imam Syafi'i, iaitu Imam Malik pernah merancang untuk menjadi penyanyi pada zaman remajanya. Beliau membuat rancangan itu kerana terpengaruh dengan seorang penyanyi yang sangat popular di Madinah pada zaman beliau itu.
Bagaimanapun, ibu Imam Malik menyedari anaknya tidak mempunyai wajah tampan walaupun mempunyai suara merdu menasihat beliau supaya kuburkan saja cita-cita beliau itu.
Ibu Imam Malik menasihatkan anaknya begitu kerana penyanyi pada zaman itu pun tidak mencukupi dengan mempunyai suara merdu dan bakat, tetapi mesti juga mempunyai wajah yang tampan.
Imam Malik akur dengan nasihat ibunya itu dan akhirnya beliau mengalih perhatian kepada pembelajaran agama terutama fikah sehingga dapat menjadi salah seorang daripada fukaha empat mazhab yang termasyhur itu.
Di antara ulama zaman sekarang yang menganggap hiburan itu halal ialah ulama-ulama Al-Azhar. Ada mereka yang terbilang dari ulama kerajaan, ada yang terbilang daripada ulama pembangkang dan ada juga yang terbilang daripada ulama bebas.
Mereka ialah bekas Syeikh Al-Azhar, Allahyarham Syeikh Gadul Haq Ali Gadul Haq dan Syeikh Al-Azhar sekarang Syeikh Dr. Mohammed Sayed Tantawi (ulama kerajaan); Syeikh Mohammed Al-Ghazali (ulama pembangkang) dan Allahyarham Syeikh Shaarawi Metewali (ulama bebas).
Untuk makluman Pak Mat Kelate, Syeikh Al-Ghazali mengaku bahawa beliau adalah peminat penyanyi legenda Arab, Umm Kalthum.
Syeikh al-Ghazali tidak menganggap pun suara Umm Kalthum sebagai aurat seperti anggapan sesetengah ulama kita. Malah beliau juga tetap berminat dengan Umm Kalthum walaupun tidak bertudung.
Meskipun kebanyakan ulama dahulu dan sekarang menganggap hiburan secara khas dan seni secara keseluruhannya tidak haram, tetapi ramai orang Islam di negara ini tidak dapat menerima perkara ini.
Lebih malang lagi ada juga orang Islam yang menganggap hiburan itu haram secara mutlak seperti anggapan Pak Mat Kelate sendiri.
Mereka ini menganggap hiburan itu tidak cocok dengan Islam. Ia kontradiksi dan tidak boleh bertemu langsung dengan Islam.
Mereka yang beranggapan begini mungkin samalah dengan Pak Mat Kelate di mana pada masa lalu beliau pun sukakan hiburan dan baru meninggalkannya selepas menjadi tua.
Orang-orang seperti ini membuat pengharaman ke atas diri sendiri selepas jemu dan puas menikmati bermacam-macam hiburan pada masa muda dulu. Mungkin hiburan yang tidak dibenarkan oleh Islam pun mereka telah melakukan juga.
Menganggap hiburan itu haram selain berpunca daripada tidak memahami ajaran Islam secara mendalam, terdapat juga penyelewengan dalam mengamal hiburan dalam masyarakat itu sendiri.
Ini terutama sekali apabila hiburan itu dikaitkan dengan komersial semata-mata tanpa mengambil kira aspek-aspek nilai moral dan larangan agama.
Kerana sebab inilah menyebabkan sesetengah ulama mengguna kriteria Sad Az-Zarai'i secara keterlaluan. Sad Az-Zara'i ialah menutup punca yang menyebabkan orang Islam boleh mengamal perkara-perkara yang boleh menjerumuskan kepada pedosaan.
Ulama-ulama berkenaan menutup pintu menuju ke perbuatan dosa tanpa membezakan antara dosa besar yang dilarang secara mutlak dengan dosa kecil yang boleh ditoleransikan dalam Islam.
Justeru muncullah tindakan mengharamkan menyanyi dan mendengar lagu, bermain muzik dan mendengarnya. Begitu juga suara wanita dianggap haram walaupun untuk memperdengarkankan al-Quran dalam musabaqah atau majlis-majlis tertentu. Malah berlakon sama ada teater dan filem turut dianggap haram.
Sampai di sini penulis percaya Pak Mat Kelate pun menyedari bahawa dakwaan beliau tidak ada ulama dalam dan luar negara menganggap hiburan itu halal adalah tidak tepat.
Perlu dijelaskan bahawa penulis memberi jawapan kepada Pak Mat Kelate kali ini hanya bergantung kepada ingatan saja tanpa merujuk kepada mana-mana kitab.
Jika merujuk kepada kitab, sudah tentu penulis akan boleh menyebut banyak lagi nama ulama yang sealiran dengan ulama-ulama di atas.
Selain itu penulis juga ingin menasihat Pak Mat Kelate supaya tarik balik tuduhan bahawa penulis berbohong dalam agama. Bagaimanapun, jika beliau tidak mahu tarik balik pun tidak mengapa kerana penulis tetap mendapat pahala daripada perbuatan beliau ini.
Cuma apa yang ditakuti ialah bukan saja Pak Mat Kelate tidak mendapat pahala, tetapi mendapat dosa percuma pula.


Artikel penuh http://ww1.utusan.com.my/

IslamicTunesNews | HALAL DAN HARAM DALAM HIBURAN Reviewed by Unknown on 5:58 PM Rating: 5

No comments:

Assalamualaikum. Feel free to comments, giving ideas and taking parts for discussion on any content within this blog and its link, but please mind your words and behave as syaria compliance. We're Muslim, we're brothers and sisters....we're family!

Copyright © 2019 - Loonaq Records | IslamicTunes. All Rights Reserved.
Template by: Uong Jowo IslamicTunesNews | Muslim Musicpreneurs Community
Powered By Blogger

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.